Posted by: izmal on: April 17, 2008

Pelajar sekolah menduduki peperiksaan.
Dulu waktu sekolah dahulu, selalu tertanya-tanya mengapa perlu ada peperiksaan,mesti terkeluar di kepala, takutlah. lepas tu, mak mesti watkan air berkat untuk tenangkan hati jawap periksa sampailah aku masuk alam universiti ini.
baru sekarang aku faham kalau takde peperiksaaan kita takakan tahu kedudukan kita, pengetahuan kita sampai mane. adakalanya peperiksaan ini bagus bagi menguatkan daya ingatan kita, betul tak?
tanyalah kat budak- budak zaman sekarang mesti ada sedikit getaran di hati untuk menghadapi peperiksaan. Lagi kalau tak baca buku… Gulp!!! nak jawap ape nie? inisiatif lain tiru!!! jengjengjeng….. Zap!! rotan melibaskan dirinya di atas meja, cikgu disciplin plak yang jaga mampuslah aku. (tapi ni bukan aku. kawan aku, dapat pengalaman dari dia) tak pasal2 dia kena keluar dari dewan pekse, malunyer!!!
tulah akibatnya taknak ulang kaji awal2!kihkihkih!
kat sini ada satu article, kita baca sama2lah:
Peperiksaan jana fikiran
Oleh Fauzi Rahim Mustafa
fauzee@hmetro.com.my
SUKA menghadapi peperiksaan?
Tanyalah pada setiap pelajar, saya pasti jawapannya tidak kerana menjelang peperiksaan dianggap saat menyeksakan bukan saja terpaksa mengulang kaji pelajaran tapi perlu memastikan kejayaan dalam genggaman.
Malangnya, setiap pelajar di negara ini tidak boleh mengelak daripada menghadapinya. Ia bukan saja sebagai medan ujian untuk menentukan pencapaian seseorang tapi penentu sama ada berjaya atau tidak meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Kenapa mesti menghadapi peperiksaan? Tidak bolehkah pencapaian pembelajaran seseorang hanya dinilai ketika di sekolah?
Sistem peperiksaan walaupun tidak disukai, sebenarnya satu mekanisme terpenting untuk menjana kecemerlangan pelajar dalam akademik.
Melaluinya, penilaian boleh dinilai sama ada pelajar itu berjaya mengikuti sesi pembelajaran di sekolah atau tidak, melihat keupayaan dalam menerima arahan dan sebagainya.
Kerana itu, peperiksaan diiktiraf sebagai elemen terpenting dalam industri pendidikan negara walaupun tidak dinafikan di sesetengah negara, peperiksaan terutama bertulis tidak terlalu dititik beratkan.
Peperiksaan juga antara platform terbaik menentukan pencapaian dan pemahaman pelajar. Melalui peperiksaan, prestasi setiap daripada mereka dinilai seterusnya menentukan kedudukan dalam darjah mahupun melanjutkan pengajian.
Jika kurang memuaskan, pelajar boleh menjadikan keputusan peperiksaan sebagai rujukan supaya lebih berusaha sekali gus menyediakan garis panduan untuk menjadi cemerlang.
Pada masa sama, peperiksaan mendorong pelajar supaya lebih rajin mentelaah dan menjana kemampuan berfikir, menghafal, menulis dan memahami.
Untuk tujuan itu, setiap guru bertanggungjawab dalam memastikan setiap pencapaian pelajar. Kalau mereka lemah, perlu tahu apa sebabnya dan jika cemerlang, patut menggunakan pendekatan itu untuk pelajar lain.
Jika pelajar bermasalah, perlu tahu bagaimana mahu mengatasinya sejak awal bagi memastikan apabila menjelang peperiksaan, mereka sekurang-kurangnya mampu lulus melepasi tahap ditentukan walaupun bukan cemerlang.
Sistem yang dilaksanakan kini menuju ke arah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Melalui sistem ini pelajar ditaksir sendiri guru sekali gus mampu menilai setakat mana kemampuan mereka.
Ia juga dapat memberitahu guru mengenai kumpulan pelajar sasaran yang perlu diperbaiki seterusnya membantu meningkatkan pencapaian mereka.
Perhubungan dua hala mampu diwujudkan dan sistem pembelajaran boleh dijalankan dengan lancar kerana ada interaksi antara guru dan pelajar. Sekiranya bermasalah, boleh diperbaiki kerana pada masa sama pelajar memperoleh sokongan moral daripada guru.
Dunia peperiksaan sebenarnya merangkumi disiplin penting yang harus diberi perhatian khusus bukan saja oleh pelajar tapi juga guru. Ia mengajar seseorang supaya mementingkan tahap kebajikan, kesihatan, kecacatan, latar belakang keluarga hingga persekitaran. Semua perlu diambil perhatian sebelum menduduki peperiksaan.
Justeru, pelajar tidak harus gentar dengan peperiksaan. Ia satu wadah menjadikan seseorang lebih bijak dan bertanggungjawab dengan diri sendiri.
Peperiksaan adalah tahap meningkatkan keupayaan diri untuk berjaya sekali gus memberi kesan kepada sosio ekonomi dan kebanggaan negara.
Ia juga membalas jasa ibu bapa dan guru jika berjaya dengan cemerlang.
Komen terbaru